Nissan Armada NISMO pertama diperkenalkan – 460 hp, casis lebih mantap


Barisan model Nissan Armada 2026 kini tampil lebih menarik dengan kehadiran varian berprestasi tinggi – Armada NISMO.
Menariknya, ini merupakan kali pertama Armada menerima sentuhan daripada divisyen NISMO, yang membawa bersama pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia sukan permotoran.
Armada NISMO menawarkan peningkatan kuasa, pengendalian lebih tajam, serta rekaan lebih agresif—semuanya tanpa menjejaskan keupayaan sebenar Armada sebagai SUV serba boleh.
Dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 twin-turbo, versi NISMO ini ditala semula untuk menghasilkan 460 hp, menunjukkan peningkatan sebanyak 35 hp berbanding versi standard.
Penalaan ini melibatkan pelarasan pemetaan enjin dan kelegaan injap, disokong oleh sistem ekzos baharu dan Active Sound Enhancement yang memperkuat bunyi enjin dalam dan luar kabin.
Dari aspek pengendalian, stereng elektrik telah ditala semula, manakala sistem suspensi udara elektronik adaptif talaan NISMO memberikan rasa pemanduan lebih responsif. Armada NISMO juga dipadankan dengan rim aloi tempa 22 inci eksklusif dan tayar berprestasi tinggi untuk kawalan dan cengkaman lebih baik.
Rekaan luarannya menyerlah dengan bampar depan dan belakang agresif, gril khas, spoiler belakang, dan fender lebih lebar. Kaliper brek berwarna merah dan lampu kabus LED turut melengkapi penampilan sporty SUV ini.
Ruang dalaman menampilkan kulit berjahit corak berlian khas NISMO dalam warna arang dengan jahitan merah, tempat duduk hadapan dengan penyokong sisi boleh laras, pedal aluminium, dan pencahayaan ambien berbilang warna.
Pilihan warna luaran yang ditawarkan termasuk NISMO Stealth Gray, Stealth Gray dengan bumbung Super Black, Black Diamond Pearl dan Everest White Pearl Tricoat yang boleh dipesan dengan atau tanpa bumbung hitam.
Di pasaran Amerika Syarikat, Armada NISMO menyertai varian lain seperti SV, SL, Platinum, PRO-4X, dan Platinum Reserve. Semua model menggunakan enjin V6 3.5L dengan 425 hp, transmisi automatik 9-kelajuan, serta kapasiti penarikan maksimum 8,500 paun (3,855 kg).

Peminat segala jenis kenderaan