Madako Chujo dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd yang baharu bermula 1 April lalu.
HONDA Malaysia Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali diterajui oleh seorang wanita.
Madako Chujo dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif selepas bersama Honda selama lebih 23 tahun.
Honda Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan menyambut baik pelantikan Chujo sekaligus yakin dengan kemampuannya untuk membawa syarikat itu ke tahap lebih tinggi.
“Honda Malaysia Sdn Bhd menyambut baik pelantikan Chujo yang juga buat julung kali menyaksikan penglibatan wanita di peringkat pengurusan tertinggi syarikat,” memetik kenyataan itu, hari ini.
Sebelum ini, Chujo pernah memegang pelbagai jawatan melibatkan beberapa wilayah dan negara termasuk China, Sepanyol dan Kanada.
Pelantikan Chujo berkuatkuasa pada 1 April lalu menggantikan penyandangnya, Toichi Ishiyama.