Parkir percuma di Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 31 Ogos nanti. - Foto ihsan SoyaCincau
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menghalang usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecualikan bayaran parkir sekitar ibu kota.
Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, semalam.
Jelas Annuar, ia berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 31 Ogos nanti.
“Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata usaha dijalankan pihaknya diharap dapat mengurangkan beban orang ramai.
Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa lokaliti sekitar Kuala Lumpur akan dikenakan PKPD.
PKPD itu berkuatkuasa bermula 3 hingga 16 Julai 2021.
Orang ramai di kawasan terlibat tidak dibenarkan meninggalkan rumah jika tiada urusan mustahak.
Kerajaan menetapkan hanya seorang daripada isi rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan barangan keperluan.
Terdahulu di media sosial, pelbagai reaksi diberi orang ramai terhadap usaha kerajaan tidak mengenakan caj parkir di Kuala Lumpur.
Mohd Nizam misalnya mengucapkan terima kasih kepada Annuar yang peka terhadap masalah dihadapi rakyat.
“Terima kasih Tan Sri. Sampai mengenai parkir pun Tan Sri fikirkan.
“Itu masalah saya selalu hadapi bila ke Kuala Lumpur,” katanya.
Situasi semasa ketika ini menyaksikan ramai kalangan rakyat berdepan kesusahan.
Justeru, parkir percuma diberikan ini diharap dapat meringankan beban rakyat.