Insiden teksi rempuh tiga kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tular sejak semalam. - Foto ihsan Twitter/AJ Yahya
GAGAL mengawal kemarahan akibat barisan menunggu dipotong, seorang pemandu teksi bertindak merempuh beberapa kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.
Insiden pada semalam berlaku selepas lelaki terbabit dikatakan berang kerana barisan menunggu penumpang dipotong pemandu teksi lain.
Menerusi rakaman video tular di media sosial, lelaki berusia 60 tahun itu dilihat merempuh tiga buah kenderaan lain dalam kejadian jam 1 petang itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abdul Rakman mengesahkan kejadian berkenaan, lapor Bernama.
Setakat ini, polis masih menyiasatΒ bagi mengenal pasti punca kejadian untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama, polis mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Sementara itu, insiden mulai tular sejak semalam selepas beberapa pengguna media sosial memuat naik video berkenaan di media sosial.
Pelbagai reaksi diberi pengguna media sosial selain ada yang bersimpati dengan pemandu teksi terbabit yang dibimbangi mengalami masalah kemurungan.
Driver teksi mengamuk di KKIA. Dengarnya stress kerana mereka hilang pendapatan dan kenderaan dilanggar adalah e-hailing. π± #Sabah#Malaysiapic.twitter.com/lsEJONhssG