Pemandangan tapak projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Singapura. - Foto ihsan Malay Mail
Status projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura masih menjadi tanda tanya sama ada ia akan disambung semula atau sebaliknya.
Perkara itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad seperti dilaporkan Bernama.
Jelas Mustapa, segala perbincangan mengenai status HSR masih di peringkat perbincangan awal.
“Saya ingin menekankan, kemungkinan menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ini masih dalam perbincangan peringkat awal,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail
Semalam, Mustapa berkata demikian ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, projek HSR Kuala Lumpur – Singapura luput pada 31 Disember 2020.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membangkitkan cadangan rundingan semula projek tersebut ketika pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong, 29 November lalu.
Sementara itu, Mustapa turut memaklumkan bahawa segala hala tuju projek ini akan dikendalikan Kementerian Pengangkutan.
“Jemaah Menteri pada pertengahan 2020 memutuskan supaya saya mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek berkenaan dengan Singapura.
“Kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MyHSR Corp Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan,” katanya.