Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertahankan tindakan anggotanya menghentikan pacuan empat roda dan ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor berkata, tindakan anggota terbabit adalah betul memandangkan konvoi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di jalan utama.
Jelas Supt Azman Shari’at, kemalangan mungkin berlaku jika anggota trafik memberi keutamaan jalan kepada pacuan empat roda dan ambulans.
“Konvoi yang berada di jalan utama telah diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan.
“Anggota bertugas di persimpangan itu telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan berkenaan untuk tempoh yang singkat,” katanya.
Sebelum ini, tular video kenderaan pacuan empat roda dan ambulans berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada sebuah konvoi.
Kejadian 26 Disember itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semasa rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan memantau kerja pembersihan akibat banjir.
Orang ramai turut melahirkan pelbagai komen terhadap insiden berkenaan di media sosial.