Harga pelekat RFID didakwa mahal, kerajaan minta PLUS kaji semula

ISU harga pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang menjadi rungutan ramai sehingga tular di media sosial mendapat perhatian kerajaan.
Terbaharu, Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go diminta mengemukakan justifikasi berhubung harga pelekat tersebut.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akan melakukan penilaian terhadap perincian kos sebenar pelekat RFID tersebut.
“Sekarang ini KKR bersama Kementerian Kewangan akan menilai segala kos struktur yang mereka buat itu.
“Kita akan pastikan sama ada untuk dikurangkan atau apakah kos yang munasabah yang boleh dikenakan pada pengguna,” katanya.
Fadillah ditemui pemberita ketika meninjau tapak projek seliaan KKR dan Jabatan Kerja Raya di tapak projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas pada Isnin.

Ketika ini, harga bagi seunit pelekat RFID adalah RM35 sekaligus mendapat reaksi kurang memuaskan daripada pengguna jalan raya.
Rata-rata pengguna menganggap harga tersebut agak tinggi dan perlu dikurangkan sedikit bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
Kebelakangan ini, isu RFID menjadi ‘hangat’ setelah menerima banyak rungutan daripada pengguna.
Selain harganya, pengguna turut mempersoalkan tahap kelancaran sistem tersebut jika dibandingkan dengan SmartTAG.
Bagaimanapun, pihak PLUS segera bertindak termasuk membuka semula lorong SmartTAG yang ditutup bagi melancarkan aliran trafik.
Pada masa sama, PLUS juga berjanji tidak mengenakan sebarang bayaran bagi penukaran pelekat RFID yang rosak.
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador