BMW 320i dan 330i edisi M Sport, penuh dengan ‘jajan’ edisi terhad

JANGAN ingat kereta modifikasi sahaja boleh dapat ‘jajan’, tetapi kereta premium juga boleh. BMW Malaysia hari ini telah memperkenalkan 320i M Sport Edition dan 330i M Sport Edition dengan penambahan beberapa ciri baharu.
Untuk 320i M Sport Edition, ia mendapat M Sport Package yang merangkumi rim aloi ringan M 18-inci, sistem stereng sport variable yang mengikut kelajuan, roda stereng kulit M, dan lining bumbung Anthracite.
Sementara itu, varian 330i M Sport Edition pula dilengkapi dengan bumbung kaca elektrik, sistem audio Harman Kardon, dan rim aloi ringan M lebih besar iaitu 19-inci.
Kedua-dua varian 3-Series ini boleh didapati dengan warna Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey, dan M Portimao Blue. Warna kulit kabin pula unik dengan Vernasca Black.
Tiada perubahan dari segi mekanikal, bermakna kedua-dua sedan ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan output, dimana 320i menjana 184hp dan 300Nm, manakala talaan pada 330i menghasilkan 255hp dan 400Nm.
Kotak gear dikongsi oleh kedua-dua varian iaitu automatik 8-kelajuan dengan Steptronic Sport, menyalurkan kuasa ke roda belakang.
BMW 320i M Sport Edition dijual pada harga RM262,800 sementara 330i M Sport Edition boleh menjadi milik anda pada RM304,800. Harga adalah termasuk dengan SST, serta jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, program servis percuma, BMW Roadside Assistance, Accident Hotline, Loyalty+ Mobile App dan BMW Service Online.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.