BMW M850i xDrive Coupe MY Edition diperbaharui untuk tahun 2022 – RM1.1 juta

BMW Malaysia hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan pada BMW M850i xDrive Coupe, kira-kira empat tahun selepas ia dilancarkan di pasaran Malaysia.

Kini digelar sebagai M850i xDrive Coupe MY Edition, model itu mendapat pencahayaan ‘Iconic Glow’ yang merangkumi unit-unit LED pada bilah gril kidney. Menurut BMW, ciri baharu ini menawarkan teknik pencahayaan umpama air yang mengalir.

Profil sisi jentera ini diserlahkan lagi menerusi rim aloi ringan M berukuran 20 inci yang didatangkan dengan kemasan 895 M Bicolour. Sebagai penyudah, pakej M Performance, M Lights Shadowline dan M Shadowline turut disertakan.

Untuk bahagian dalaman pula, M850i xDrive Coupe MY Edition kini dilengkapi dengan paparan kawalan beresolusi tinggi yang lebih besar berukuran 12.3 inci. Kerusi M Sport untuk pemandu dan penumpang depan juga disertakan secara standard, begitu juga dengan kemasan Carbon Fibre M dan kawalan electroplated pada keempat-empat pintu.

Untuk kemudahan, model ini hadir dengan penyaman udara automatik dwi zon, manakala elemen hiburan  dibekalkan oleh sistem bunyi keliling Bower & Wilkins Diamond. Bukan itu sahaja, sistem penggera turut disediakan bagi meningkatkan ciri keselamatan di dalam kenderaan.

Penawaran warna luaran untuk M850i xDrive Coupe MY Edition termasuklah BMW Individual Frozen Pure Grey Metallic dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue Metallic.

Sementara itu, upholsteri ruang dalaman pula BMW Individual Extended Leather Trim Merino, dengan pilihan warna seperti Black, Cognac, Ivory White, Night Blue, Tartufo dan Fiona Red.

Harga jualan, dengan Inklusif Servis dan Pembaikan BMW serta cukai jualan dan perkhidmatan, adalah RM1,102,800.

Setiap pemilik juga akan mendapat pakej waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun, program servis berjadual percuma, pakej bantuan tepi jalan dan talian kemalangan BMW, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+, kad keistimewaan BMW dan servis dalam talian.