Volvo XC40 EV facelift kini dengan rupa baharu, output 402hp/660Nm, jarak pemanduan 438km

VOLVO Car Malaysia (VCM) telah membuka tempahan untuk XC40 Recharge Pure Electric (EV), versi facelift untuk 2023. Ianya ditawarkan pada harga RM278,888 dengan varian Ultimate untuk kali ini.
XC40 EV mendapat perubahan kecil pada rekaannya yang mirip dengan C40 yang juga bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Antara pembaharuan termasuklah lampu depan LED, bampar baharu lebih sporti, dan gril kosong dengan warna badan.
Rim masih bersaiz 19-inci, tetapi dengan rekaan baharu, manakala kemasan dalaman Charcoal kini mendapat balutan kulit tekstil Charcoal Connect Suede, menggantikan kulit Nubuck pada model sebelum ini.
Ciri lain termasuklah kemasan Topography yang menggantikan R-Design Cutting Edge sebelum ini, serta penulen udara (air purifier) PM2.5 dengan fungsi kawalan jauh serta modul baharu bagi pintu but berkuasa belakang dengan pengesanan kaki.
XC40 EV juga tidak lagi menggunakan Touring Chassis, sebaliknya mendapat Dynamic Chassis, sama seperti versi bukan EV.
Dari segi teknologi, tiada perubahan berbanding model sebelum ini, dimana XC40 ini dilengkapi sistem infotainmen Android Automotive OS dengan servis Google terbina dalam, skrin sesentuh 9-inci, paparan instrumen digital 12-inci, dan sistem audio Harman Kardon 600 watt dengan 13 pembesar suara.
Terdapat juga pengecaj tanpa wayar, sistem penghawa dingin dwi-zon dengan corong belakang, dan tempat duduk berkuasa. XC40 EV facelift boleh didapat dengan warna Fjord Blue, Black Stone, Thunder Grey, Crystal White, dan Sage Green.
Powertrain juga menggunakan yang sama sebelum ini, iaitu dua motor elektrik (satu di depan, dan satu di belakang). Sistem ini menjana 402hp dan 660Nm tork, membolehkan XC40 EV ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 4.9 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 180km/j.
Kuasa dibekalkan oleh bateri 78kWh, dan SUV ini mampu dipandu sehingga 438km setiap caj. Bercakap mengenai caj, XC40 memerlukan 7.5 jam dengan pengecaj AC biasa, tetapi hanya 33 minit dengan pengecaj pantas DC (0 hingga 80 peratus).
Untuk keselamatan pula, XC40 EV ini hadir dengan pakej City Safety, merangkumi Collision Avoidance dan Mitigation dengan Intersection Support, serta pengesanan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar.
Ciri keselamatan aktif lain termasuklah Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Run-Off Road Mitigation dengan Road Edge Detection, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Steer Assist, dan Cross Traffic Alert (CTA) dengan Autobrake.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.