Pasca PRU15: Polis adakan sekatan jalan raya seluruh negara

BERMULA malam tadi (22 November), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

“Langkah ini bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.
“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” tambahnya.
Beliau berkata orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.
“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” katanya.
SJR itu akan dilaksanakan sehingga satu masa yang ditetapkan.

Dalam perkembangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga semalam, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.
Walaubagaimanapun, Pengerusi PN, Muhyiddin menolak cadangan itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah semalam menitahkan 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada pagi ini (23 November).
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.