MRT laluan Putrajaya Fasa 2 beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023

mrt

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua akan beroperasi sepenuhnya bermula Mac, menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Dalam satu kenyataan, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

“Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023.”

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Menurut kenyataan itu lagi, laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

“Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.”

Namun demikian, masih ada beberapa siri ujian lagi yang masih perlu dijalankan untuk memenuhi prosedur kawalan kualiti dan keselamatan.

Tarikh permulaan perkhidmatan Fasa Dua akan diumumkan sebaik sahaja proses kelulusan dimuktamadkan dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

View Comments (8)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved