Had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 10 km/j sehingga 27 Januari

Bermula 18 hingga 27 Januari ini, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, perwartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di musim perayaan.
“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ia termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ); Jabatan Kerja Raja (JKR); Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); dan PLUS Malaysia.
Tambah beliau lagi, KKR melalui JKR juga akan sentiasa memantau lokasi ‘blackspots’ yang dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Setakat ini, sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti sepanjang tahun ini. Sebanyak 53 lokasi ‘blackspots’ melibatkan Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara juga telah dibaiki pada tahun lalu dengan kos berjumlah RM17.2 juta.