BMW 3-Series ditambah dengan dua varian baharu – M340i xDrive dan 330Li M Sport

bmw m340i xdrive 12

SELEPAS dua bulan memperkenalkan 3-Series G20 facelift, BMW Malaysia hari ini mengumumkan penambahan dua varian baharu iaitu M340i xDrive dan 330Li M Sport.

Sama seperti 320i M Sport, 330i M Sport dan 330e M Sport yang diperkenalkan sebelum ini, M340i xDrive dan 330Li M Sport juga membawakan rupa luaran lebih segar dan ruang dalaman yang direka semula.

BMW M340i xDrive

Untuk M340i xDrive, ia boleh dikenali dari gril kidney heksagonal, selain mendapat lampu LED adaptif dengan High Beam Assistant. Ia juga didatangkan dengan kelengkapan M untuk cermin sisi, rim aloi 19-inci, angkup brek berwarna biru, spoiler belakang, dan Aerodynamic Package.

Mahu lebih eksklusif? M340i xDrive juga boleh dilengkapkan dengan M Sport Pro, dimana ia mendapat rim aloi 19-inci Style 791 M, M Shadowline, angkup brek M berwarna merah, gril kidney High Gloss Black, dan spoiler M Black Sapphire.

Di bahagian kabin, M340i dilengkapi dengan BMW Curved Display yang merangkumi paparan infotainmen 12.3-inci dan paparan instrumen 14.9-inci. Konsol tengah juga telah disusun semula untuk lebih minimalis.

Selain itu, ia juga hadir standard dengan tempat duduk sports, stereng balutan kulit M, penghawa dingin automatik, lampu kabin, bumbung kaca elektrik, tali pinggang keledar dengan warna M, dan sistem audio Harman Kardon.

BMW M340i dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam-silinder sebaris yang menjana 387hp dan 500Nm tork. Dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda xDrive, M340i mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 4.4 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j.

Disebabkan M340i xDrive ialah varian yang lebih berkuasa, ia juga mendapat differential M Sport, suspensi adaptif M, dan stereng sport variable.

BMW 330Li M Sport

Sementara itu, 330Li adalah varian lebih mewah dan panjang dari 3-Series biasa, iaitu tambahan sebanyak 110mm. Kelengkapan pada 330Li termasuklah lampu LED baharu yang nipis, rim aloi M 18-inci, tempat duduk balutan kulit, kemasan dalaman Black High Gloss/Aluminium, panel instrumen Sensatec, dan bumbung panoramik.

Terdapat juga komponen M iaitu stereng balutan kulit dan headliner. Ciri lain juga adalah seperti pendingin hawa automatik tiga zon, lampu kabin, dan sistem audio HiFi.

BMW 330Li M Sport dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder dengan output 258hp dan 400Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear 8-kelajuan, membolehkannya memecut ke 100km/j dalam masa 6.2 saat.

Kedua-dua M340i dan 330Li didatangkan dengan BMW Head-Up Display, Operating System 8, BMW Intelligent Personal Assistant, dan BMW iDrive Controller.

Berikut adalah pilihan warna untuk kedua-dua model;

M340i xDrive – Alphine White, Black Sapphire, Melbourne Red, M Portimao Blue, M Brooklyn Grey, dan Skyscraper Grey.

330Li M Sport – Carbon Black, Mineral White, M Portimao Blue, dan Skyscraper Grey

Harga adalah seperti berikut:

BMW M340i xDrive                                         RM 391,800.00
BMW M340i xDrive M Sport Pro                RM 396,800.00
BMW 330Li M Sport                                        RM 325,800.00

View Comments (2)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved