Volvo Car Malaysia tawar model Pure Electric di platform jualan dalam talian

PLATFORM jualan dalam talian Volvo Car Malaysia yang dilancarkan pada tahun lalu kini semakin berkembang dengan penawaran rangkaian penuh model Pure Electric.
Ini bermakna, mereka yang berminat untuk mendapatkan Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan C40 Recharge Pure Electric kini boleh berbuat demikian menerusi platform e-dagang itu.
Pelanggan bukan sahaja boleh membuat tempahan, malah boleh membuat pembayaran secara terus kepada Volvo Car Malaysia melalui laman web rasmi syarikat itu.
Bersempena dengan pengumuman ini, Volvo Car Malaysia mengadakan promosi di mana pelanggan yang mendaftarkan mana-mana model Pure Electric akan menikmati baucar bernilai RM7,000 untuk pengecas dinding wallbox dan insurans Volvo Car secara percuma. Promosi ini sah sehingga 30 Jun 2023.
Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Malaysia berkata, “Sejak pengenalan platform ‘Online Sales’, perjalanan pelanggan kami untuk membeli sebuah kereta Volvo telah menjadi lebih baik. Ia juga dibantu oleh ketelusan dan ketersediaan stok kereta kami.”
“Bermula hari ini, platform ini telah menyediakan rangkaian penuh model Pure Electric kami, dan kami merancang untuk mengintegrasikan lebih banyak lagi model kereta Volvo di platform tersebut tidak lama lagi,” katanya.