DALAM usaha untuk meraih sokongan pengundi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang, PAS Terengganu berjanji akan menawarkan kemudahan pinjaman motosikal tanpa faedah bagi individu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tawaran pembelian motosikal tanpa faedah itu antara 10 janji manifesto PAS sekiranya parti itu berjaya mengekalkan pentadbiran pada PRN kali ini.
“Tawaran ini antara janji kerajaan PAS yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah.
“Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, PAS Terengganu telah menunaikan kesemua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan telah 12 Ogos sebagai hari pengundian PRN serentak di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.