Proton, Gentari pasang pengecas pantas DC di CoE, terbuka kepada semua pemilik EV

PROTON, dengan kerjasama Gentari, telah melancarkan pengecas pantas DC 100 kW di Centre of Excellence (CoE). Kemudahan ini boleh digunakan oleh semua pengguna EV tanpa mengira jenama.
Pengecas dinamik yang dipasang oleh anak syarikat milik penuh Gentari iaitu Gentari Green Mobility itu ditempatkan di kawasan letak kereta pelanggan di bilik pameran Proton Crystal.
“Dengan kemasukan kami ke pasaran kenderaan elektrik (EV) melalui smart Malaysia tidak lama lagi, inilah masanya bagi Proton untuk mengambil langkah seterusnya ke dalam segmen yang berkembang pesat ini.
“Kami bersyukur kerana mempunyai rakan kongsi yang dinamik seperti Gentari, yang telah memasang pengecas DC pertama di tapak ibu pejabat kami dan berharap lebih banyak kerjasama sedemikian pada masa hadapan, dalam rangkaian pengedar kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton
Shah Yang Razalli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Green Mobility berkata, usaha gabungan ini boleh mempercepatkan lagi pergerakan mobiliti hijau, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang betul dalam perjalanan peralihan tenaganya.
Sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gentari dan Pro-Net pada 12 Oktober 2022, kedua dua syarikat telah meneroka pelbagai penyelesaian untuk memperkukuhkan rangkaian pengecasan di Malaysia.
Ini termasuk kerjasama antara Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Proton Global Services dan rakan kongsi lain untuk membangunkan bukti konsep bagi penyelesaian pengecasan EV mudah alih menggunakan Proton Exora.
Tiga unit konsep itu sedang diuji, dengan setiap pengecas menawarkan 30 kW kuasa pengecasan. Kajian pengguna yang berterusan sedang dijalankan untuk menilai permintaan untuk konsep inovatif ini.
Pro-Net juga bekerjasama dengan Gentari untuk memasang pengecas pantas di beberapa pengedar Proton. Sebagai sebahagian daripada program fasa pertama, lima pengecas DC Gentari tambahan ditetapkan untuk dipasang pada penghujung tahun 2023, dengan sasaran 20 pengedar.
Selain itu, empat pengedar smart Malaysia juga telah memasang pengecas DC dari pembekal lain menjelang pelancaran smart #1.