Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus bagi kompan saman trafik terpilih sempena program “Setahun Bersama Kerajaan Madani” dari 8 hingga 10 Disember ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata tawaran itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi tahun 2023 yang melibatkan kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan, dan kesalahan tidak boleh dikompaun.
“Pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Dis (Jumaat) dan dari 9 pagi hingga 6 petang pada 9 dan 10 Dis (Sabtu dan Ahad),” katanya.
Beliau menggesa orang ramai untuk menyemak sama ada mereka mempunyai sebarang saman di portal PDRM atau aplikasi MyBayar sebelum ke kaunter pembayaran bagi mengelak kesesakan dan mempercepatkan proses pembayaran.