Honda Civic e:HEV RS dinobat Malaysia Car Of The Year 2023

MALAYSIA Car Of The Year (MCOTY) 2023 baru berakhir dan anugerah utama dirangkul oleh Honda Civic e:HEV RS Hybrid. Anugerah tahunan ini menjadi medan untuk wakil dan pakar automotif mengiktiraf dan meraikan kereta-kereta baharu di Malaysia.
Barisan juri memilih Honda Civic e:HEV RS Hybrid kerana teknologinya yang cekap, dan menawarkan pengurusan tenaga hibrid yang mantap dalam kalangan pesaing-pesaingnya.
Sebanyak 121 kereta baharu dinilai untuk tahun ini, dengan saingan sengit dari pelbagai jenis kenderaan. Panel juri terdiri dari 10 wartawan permotoran dan dua profesional dari bidang perundangan dan perubatan.
Juri-juri ini menilai kenderaan dari kriteria tertentu seperti reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang. Hasil analisis mereka mengagihkan 121 kereta kepada tujuh kategori utama, dengan 13 pemenang dari segmen masing-masing.
Satu aspek menarik MCOTY ialah anugerah People’s Choice atau Pilihan Rakyat, dimana ia dipilih dari undian online melalui telefon pintar bagi memastikan seorang pengundi memilih satu kereta.
Anugerah People’s Choice tahun ini dinobatkan kepada Perodua Axia E bagi kategori marhaen, manakala BMW iX1 xDrive30 M Sport menang bagi kategori premium. Menarik juga kerana rakyat Malaysia memilih sebuah EV sebagai pemenang untuk pasaran premium.
Selain itu, terdapatjuga Honourable Mentions untuk tiga kereta yang tetap sangat bagus. Pertama ialah Ford Ranger Raptor 3.0 V6 petrol untuk prestasinya, dianggap seperti supercar dengan rupa trak pikap.
Kedua ialah Perodua Axia E 1.0 E manual kerana harganya yang sangat mampu milik, dengan hanya RM22,000, menjadikannya antara kereta dengan nilai untuk wang terbaik dalam dunia! Walaupun dikritik kerana standard keselamatannya, ia tetap jauh lebih selamat dari motosikal.
Akhir sekali ialah Chery Omoda 5 kerana jaminan yang ditawarkan. Ia dilancarkan dengan jaminan 1,000,000km untuk 3,000 pembeli pertama. Inisiatif membina keyakinan terhadap jenama ini menarik perhatian para juri.
Anugerah MCOTY kembali selepas ‘berehat’ tiga tahun disebabkan pandemik yang melanda dunia. Pada 2019, kurang dari lima model EV dalam pasaran, tetapi pada tahun ini, sebanyak 29 EV dilancarkan.
Berikut adalah senarai penuh anugerah dan pemenangnya:
A. Sedan dan hatchback terbaik
Kurang RM110,000: Toyota Vios 1.5G
RM111,000 hingga RM249,000: Honda Civic e:HEV RS Hybrid
Lebih RM250,000: Mercedes-Benz C300 AMG Line
B. Crossover terbaik
Kurang RM200,000: Toyota Corolla Cross Hybrid 1.8
Lebih RM200,000: Mazda CX-8 2.2D 2WD
C. Kereta elektrik (EV)
Kurang RM200,000: BYD Dolphin Premium Extended
Lebih RM200,000: Volvo C40
D. Hibrid
Kurang RM250,000: Toyota Corolla Cross Hybrid 1.8
Lebih RM250,000: Volvo XC90 Recharge T8 Ultimate
E. SUV
Kurang RM250,000: Kia Sorento 2.2 Diesel AWD
Lebih RM250,000: Lexus RX350 Luxury 2.4 T
F. Trak pikap
Ford Ranger XLT Plus Double Cab 4×4 WildTrak
G. MPV
Kia Carnival 2.2 Diesel 11-seater
H. Pemenang keseluruhan
Honda Civic e:HEV RS Hybrid
I. People’s Choice
Marhaen: Perodua Axia E
Premium: BMW iX1 xDrive30 M Sport
J. Honourable Mentions
Prestasi: Ford Ranger Raptor 3.0 V6 petrol
Mampu milik: Perodua Axia 1.0 E
Jaminan: Chery Omoda 5
K. CPO (operator tempat pengecas) terbaik
Gentari
L. Individu Tahunan
Ahmad Hadri Haris
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.