Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan keluaran khas GOLD 1 dengan nilai bidaan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM1.5 juta.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Istana Negara.
Pada pertemuan itu, Anthony turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran tersebut, Sultan Ibrahim bertitah bahawa RM1.5 juta itu akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Nombor plat siri GOLD merupakan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Ia dibuka untuk bidaan pada 1 Februari bermula jam 12 tengah hari hingga 5 Februari lalu.
Pada Jun tahun lalu, Sultan Ibrahim berjaya memperoleh nombor plat FF 1 selepas berjaya membidanya dengan tawaran tinggi pada harga RM1.2 juta.