BYD Atto 3 dikemas kini untuk 2024 – Logo belakang baharu, RM149,800

BYD Atto 3 boleh dikatakan sebuah model elektrik (EV) yang masih baharu dalam pasaran. Tetapi Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi telah memperkenalkan BYD Atto 3 2024 yang dikemas kini.
Antara pembaharuan bagi Atto 3 ini adalah dari segi rupa luarannya. SUV EV ini mendapat grafik hitam baharu pada tiang-D, dan logo BYD di belakang yang menggantikan tulisan “BUILD YOUR DREAMS” sebelum ini.
Kemudian, bahagian kabinnya boleh dipilih dengan dua tema warna iaitu Black-Dark Blue atau Dark Blue-Light Grey, mengikut selera anda. Terdapat juga tambahan warna badan Cosmos Black baharu, selain warna sedia ada.
Untuk aspek teknologi pula, BYD Atto 3 2024 dilengkapi pengecas tanpa-wayar dan skrin lebih besar 15.6-inci (sebelum ini 12.8-inci) yang masih boleh diputar. Sambungan Android Auto dan Apple Carplay masih ditawarkan seperti biasa.
Tiada perubahan untuk sistem janaan kuasa. Bermakna Atto 3 masih dipacu motor elektrik di depan dengan output 201hp dan 310Nm, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam 7.9 saat.
Motor elektrik ini mendapat kuasanya dari bateri LFP (lithiup iron phosphate) yang memberikannya jarak pemanduan 345km (kitaran WLTP).
BYD Atto 3 menyokong pengecasan AC 7kW dan DC sehingga 70kW, selain fungsi V2L.
EV ini ditawarkan hanya dalam satu varian untuk 2024, dengan harga RM149,800. Anda juga boleh memilih tiga pakej jaminan antara 6-tahun/150,000km hingga 8-tahun/150,000km.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.