MCVE 2024: ZF perkenal produk khusus untuk pasaran Asia Tenggara

ZF Aftermarket baru-baru ini telah telah merungkaikan beberapa inovasi yang dirumus khas bagi memenuhi standard keperluan kenderaan komersial.

Antaranya adalah klac inovatif, penyerap hentak, dan bendalir transmisi. Pengenalan itu dibuat semasa acara Malaysia Commercial Vehicle Expo 2024 (MCVE 2024).

Sistem klac terbaharu SACHS dengan teknologi Jerman ini meningkatkan kecekapan operasi dengan sela masa penggantian lebih lama yang menjangkau 700,000km.

Satu lagi produk SACHS ialah komponen penyerap hentak baharu. Ia direka bukan sahaja untuk meningkatkan kestabilan kenderaan, tetapi meningkatkan jangka hayat tayar dan mengurangkan kehausan tayar akibat kemerosotan penyerap hentak.

Dengan mengurangkan jarak brek dan kehausan tayar, ia bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pemandu tapi juga menekankan dedikasi ZF Aftermarket terhadap solusi-solusi yang menambah baik prestasi kenderaan dan yang bersifat ekonomikal.

ZF Aftermarket melengkapkan tiga inovasi terbaharunya dengan memperkenalkan bendalir transmisi berprestasi tinggi yang dirumus untuk semua jenis kenderaan komersial, ia meliputi transmisi mekanikal dan juga automatik.

Produk ini terlahir menerusi kajian yang ekstensif untuk memperbaiki aspek prestasi dan juga jangka tahan, terutamanya dalam iklim dan kondisi jalan raya Asia Tenggara yang mencabar.

“Kami telah mengumpulkan kepakaran global kami untuk menjuruterai solusi-solusi yang sesuai dengan cabaran iklim dan operasi yang unik bagi pasaran Asia Tenggara,” ujar Chee How Teoh, Ketua Unit Bahagian Pascapasaran Asia Pasifik di ZF Aftermarket.

“Inovasi kami membuktikan daya pimpinan ZF Aftermarket dari sudut teknologi dan juga visi strategik. Ia memperkasakan para pelanggan kami untuk menerajui pasaran mereka dengan kenderaan komersial yang menjanjikan reliabiliti, kecekapan, dan reka bentuk yang bersesuaian dengan iklim dan jalan raya di rantau Asia Tenggara yang mencabar,” jelas Aleksander Rabinovitch, Ketua Unit Jaringan Perniagaan Kenderaan Komersial di ZF Aftermarket.