Alpina B3 Touring untuk dijual, ini baru betul rare

1996_bmw_alpina-b3-3.2-touring_067-22461-scaled

ADA tiga perkara yang boleh menjadikan sebuah BMW lebih cool. Yang pertama adalah bentuk badan wagon (atau Touring). Yang kedua adalah transmisi manual dan yang ketiga, sentuhan Alpina.

Alpina B3 Touring ini mempunyai ketiga-tiganya. Ia sedang dibuka untuk bidaan menerusi laman web ‘Bring a Trailer’ dan ketika artikel ini ditulis, bidaan terkini adalah $20,250 (RM95,985).

 

Hanya 89 unit B3 Touring pernah dikeluarkan dan unit ini merupakan yang ke-23. Dibina pada September 1996, ia pada mulanya diserahkan kepada Nicole Racing Japan sebelum dieksport ke Netherlands pada 2017. Pada 2022, ia diimport ke Amerika Syarikat.

Kereta ini masih menggunakan cat biru metalik yang asal, berserta kit badan Alpina dan rim aloi multispoke berukuran 17 inci. Menjadikan ia lebih menonjol adalah grafik Alpina berwarna emas pada bahagian sisi dan belakang.

Di dalam, tempat duduk dan panel pintu dibalut upholsteri fabrik berwarna hitam dengan jalur hijau dan biru, manakala bahagian lantai dilindungi oleh karpet Alpina. Stereng dibalut kulit dengan jahitan dwi tona dan menampilkan logo Alpina pada bahagian tengah.

Di bawah bonet adalah enjin 3.2-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 265 hp dan 329 Nm. Beberapa penambahbaikan telah dilakukan pada 2023, antaranya termasuk membina semula sistem Vanos dan menggantikan gasket kepala silinder, regulator tekanan bahan api, penyuntik bahan api, sensor oksigen dan pelbagai lagi. Perbatuan hampir mencecah 176,000 km.

Unit bernombor 23 ini asalnya dilengkapi dengan transmisi automatik namun ia telah dikeluarkan bagi memberi ruang kepada transmisi manual enam kelajuan Getrag 420G yang diambil dari M3 E46. Ia baru sahaja dipasang pada tahun ini bersama dengan Limited-Slip Differential (LSD).

Apa yang menarik, pembeli juga akan mendapat transmisi automatik yang asal, berserta alat ganti tambahan dan model skala.

View Comments (4)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved