Kerajaan tiada perancangan wajibkan pemasangan dashcam

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam atau kamera papan pemuka bagi semua kenderaan di negara ini.
Tambah Loke, walaupun kementerian ada menerima beberapa cadangan mengenainya, pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.
“Akan tetapi, kita menggalakkan pemasangan dashcam terutama pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang.
“Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakkan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi,” katanya.
Selain itu, Loke turut menggalakkan syarikat pengusaha bas untuk memasang peranti tersebut agar dapat merakam dan dijadikan bahan bukti sekiranya terlibat kemalangan jalan raya.

“Pemasangan dashcam ini satu bukti sekiranya berlaku kemalangan untuk mengetahui siapa yang bersalah atau yang patut bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata statistik kemalangan jalan raya pada tahun lepas mencatatkan sebanyak 600,000 kemalangan manakala jumlah kematian adalah sebanyak lebih 6,500 orang.
“Kalau kita lihat statistik, puratanya adalah 15 hingga 17 orang meninggal setiap hari dan jumlah ini satu angka yang besar.
“Setiap orang yang meninggal, bagi kita (kementerian) ini adalah satu tragedi yang tidak perlu berlaku kerana kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan jika setiap pemandu mengambil sikap berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Justeru itu, Loke berharap orang ramai dapat menjadi pemandu berhemah, sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.