Harga rasmi Volkswagen Golf R CKD diumumkan, RM334k

volkswagen golf r ckd 11

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan penjualan rasmi Golf R versi CKD pada harga RM334,012 atas jalan tidak termasuk insurans.

Harga tersebut termasuk Pakej Jaminan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelengaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Golf R dilengkapi dengan ‘R Performance Package’ yang merangkumi ekzos titanium Akrapovič, rim aloi Estoril bersaiz 19 inci, spoiler belakang baharu serta mod pemanduan ‘Drift’ dan ‘Special’.

Kedua-dua mod berkenaan berfungsi untuk melaraskan trenkuasa dan casis, serta boleh diakses menerusi butang ‘R’ pada stereng.

Dalam mod Drift, tork ditumpukan ke roda belakang untuk membolehkan kereta meluncur (slide) dengan lancar dan terkawal. Mod Special, yang direka khas untuk litar Nürburgring-Nordschleife, mengubah suai tetapan suspensi untuk memberi cengkaman maksimum.

Golf R dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TSI empat silinder yang menghasilkan 320 PS dan 400 Nm. Dengan transmisi klac basah tujuh-kelajuan DSG, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.8 saat dan mencatat kelajuan maksimum 250 km/j.

Aspek keselamatan dan cengkaman dikekalkan menerusi sistem pacuan semua roda 4Motion serta torque vectoring berprestasi tinggi.

Secara visual, Golf R boleh dikenal pasti menerusi bampar hadapan dan gril radiator ‘R’. Terdapat tiga pilihan warna iaitu Lapiz Blue, Deep Black dan putih Pure White.

Rekaan dalamannya yang sporty jelas kelihatan menerusi kemasan ‘R’ berwarna kelabu Carbon Grey, tempat duduk dibalut kulit premium Nappa, stereng R bersama lampu latar berwarna biru pada butang kawalan dan paddle shift.

Kelengkapan yang disertakan standard termasuk head-up display, skrin sistem infohibur Discover Pro berukuran 10 inci, sistem audio Harman Kardon 480W dengan 10 pembesar suara dan pengecas tanpa wayar.

Turut disertakan adalah sistem bantuan pemandu IQ.Drive yang merangkumi ciri-ciri seperti Travel Assist with Adaptive Cruise Control, Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan Emergency Assist.

View Comments (78)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved