Nahas helikopter TLDM: Fennec tidak berada dalam laluan ditetapkan

PESAWAT Fennec tidak berada pada ketinggian dan laluan ditetapkan menjadi faktor utama nahas helikopter yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 23 April lalu.

Gambar oleh: Air Times News Network

Perkara itu dinyatakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob dalam satu sidang media di KD Sri Gombak, hari ini.

Menurut beliau, lembaga siasatan telah membuat kesimpulan bahawa pesawat tersebut telah memasuki laluan helikopter AW-139 HOM.

“Faktor sekunder (kedua) yang disimpulkan oleh lembaga siasatan ialah channelised attention oleh kru AW-139 yang tertumpu ke arah penukaran Haluan.

“Ini telah menghadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya.

Gambar oleh: Air Times News Network

Beliau menambah, Laporan Akhir ini adalah selari dengan Laporan Awal yang dikeluarkan pada 9 Mei 2024 lalu.

Dalam tragedi pada 23 April lepas, dua helikopter TLDM bertembung di ruang udara Pangkalan Lumut semasa formasi penerbangan raptai lintas hormat.

Pertembungan antara pesawat Fennec dan AW-139 HOM itu mengorbankan 10 orang yang berada dalam kedua-dua pesawat terbabit.