Proton perkenal inisiatif penarafan 5 bintang, tingkat tahap perkhidmatan selepas jualan


PROTON telah melancarkan inisiatif penarafan lima bintang bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggan di cawangannya di seluruh negara.
Ia merupakan lanjutan daripada inisiatif Proton Operational Excellence (POE) yang telah dimulakan pada 6 Mac 2023.
Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, pengiktirafan baharu ini akan diberikan berdasarkan skor POE dan kualiti perkhidmatan bagi menggalakkan semua cawangan untuk mencapai dan mengekalkan tahap perkhidmatan dan kepuasan pelanggan yang tinggi.
Kualiti perkhidmatan dinilai dalam dua kategori iaitu kelajuan dan pematuhan SOP dan ini kemudiannya dinilai dalam enam bidang tumpuan. Matlamat akhir adalah untuk menguruskan keprihatinan pelanggan di cawangan dengan berkesan dan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik.
Inisatif POE Proton menekankan pematuhan kepada syarat-syarat seperti proses perkhidmatan, kecekapan juruteknik, inventori stok dan pengurusan pelanggan.
“Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan prestasi perniagaan cawangan dan menambah baik kecekapan operasi pusat perkhidmatan di seluruh negara,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Menerusi inisiatif ini, setiap cawangan diberi penilaian pada setiap bulan dan hasilnya dikongsi dengan semua cawangan lain untuk menunjukkan dengan jelas kedudukan mereka dalam rangkaian.
Bahagian selepas jualan Proton juga bekerjasama rapat dengan cawangan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka secara proaktif dengan mengadakan roadshow suku tahunan untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik serta mengukuhkan prestasi dengan perkongsian amalan terbaik.
Dengan permulaan inisiatif penarafan lima bintang, lima pengedar Proton akan dianugerahkan pengiktirafan tertinggi setiap bulan, menandakan mereka sebagai pusat kecemerlangan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan.
Bagi memastikan pariti dan penerimaan daripada rangkaiannya, KPI untuk inisiatif itu ditetapkan berdasarkan maklum balas daripada semua cawangan serta penandaarasan amalan terbaik daripada OEM lain.
Bagi menandakan permulaan inisiatif ini, acara pelancaran telah diadakan di Melinau Auto di Kuching, salah satu daripada tiga cawangan Proton yang diberi pengiktirafan baharu selepas memenuhi semua syarat.
Selepas pelancaran inisiatif lima bintang, senarai cawangan yang diiktiraf akan diterbitkan di laman web korporat Proton dan disertakan dengan lencana tersendiri untuk pengiktirafan pengedar.