Chery Malaysia capai 10,000 unit kenderaan CKD dalam tempoh 8 bulan


CHERY Auto Malaysia mencapai pengeluaran unit ke-10,000 kenderaan mereka untuk kilang CKD hasil kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd.
Pencapaian ini diperoleh dalam tempoh hanya lapan bulan selepas bermulanya operasi di kilang Inokom di Kulim, Kedah yang berkeluasan 200 ekar itu.
Menurut siaran media oleh Chery, ini menandakan komitmen mereka untuk pertumbuhan dan kecemerlangan industri automotif tempatan.
Chery Auto Malaysia dan Inokom Corporation memulakan kerjasama mereka pada Mei 2023 dan kumpulan pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang dipasang CKD telah diserahkan kepada pelanggan pada Ogos lepas.
Model Tiggo 7 Pro yang akan dilancarkan Chery tidak lama lagi juga telah dimulakan pemasangannya di kilang itu pada bulan ini. Sementara itu, Omoda E5 yang merupakan model EV akan menyusul selepas itu.
Dengan permintaan yang meningkat dengan penerimaan pasaran yang baik, Chery Auto Malaysia meningkatkan operasi mereka dengan memperkenalkan barisan pemasangan kedua bagi menambah kecekapan operasi kilang itu.
Pertambahan ini akan melonjakkan kapasiti dan menampung permintaan yang meningkat dari kalangan pengguna Malaysia. Mereka juga akan mengekalkan standard dan kawalan kualiti produk serta perkhidmatan.
“Fokus kami sentiasa untuk menyerahkan produk selamat dan boleh diharap untuk pelanggan kami,” kata Leo Chen, Presiden Chery Auto Malaysia.

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.