Perodua mungkin perlu kilang ketiga untuk pengeluaran Myvi EV

perodua e-mo ev 11

PERODUA sedang menilai untuk pembinaan sebuah kilang baharu menjelang 2025 bagi menyokong pengeluaran Myvi generasi baharu, menurut laporan oleh Wapcar.

Seperti yang anda mungkin tahu, Myvi generasi baharu akan turut menampilkan varian EV (elektrik sepenuhnya).

Pada masa ini, Perodua mempunyai dua kilang yang terletak di Rawang. Kilang pertama Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) kini mengeluarkan Alza, Aruz, dan Myvi. Ia juga mengeluarkan Toyota Veloz secara kontrak.

Kilang kedua Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) kini mengeluarkan Axia, Bezza, dan Ativa. Kilang ketiga dirujuk sebagai ‘kilang BEV’ (bagi kenderaan elektrik bateri).

Pada masa yang sama, Perodua juga mempunyai pilihan terbuka. Pelan alternatif ialah untuk bekerjasama dengan pengeluar lain secara kontrak.

Bercakap semasa pengenalan umum konsep Perodua EMO-1 minggu lepas, Presiden dan CEO-nya, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “Saya tidak boleh mengganggu kilang sekarang. Ia berjalan pada kadar lebih 300,000 unit (setahun).”

“Seperti saya sebut tadi, kami sedang berusaha mengeluarkan kira-kira 340,000 hingga 350,000 unit. Itu sudahpun melebihi kapasiti normal kami.

“Jadi, saya tidak boleh ganggu kilang sekarang. EV (bateri) ini sesuatu yang kami harus mengambil kira untuk membina kilang baharu, atau mencari rakan kongsi, yang ada kemampuan di Malaysia untuk membolehkan kita membuat pemasangan,” tambahnya.

Perodua BEV generasi baharu dibangunkan secara bebas, tanpa bantuan teknikal dari Daihatsu.

Bermula dari sifar, projek ini dijalankan dengan kerjasama tiga universiti tempatan dan pakar konversi kenderaan elektrik dari Australia, iaitu EV North.

Projek yang diketuai oleh ketua jurutera, Puan Jehan Adnan ini menggunakan prototaip yang disokong oleh 60 vendor tempatan, sekaligus memastikan Malaysia mempunyai rangkaian bekalan bagi penghasilan EV dalam negara.

Prototaip ini diasaskan dari Myvi tetapi dilengkapi dengan pek bateri 55.7kWh yang memberikannya jarak pemanduan sehingga 350km.

Ia mempunyai satu motor elektrik di roda depan dengan output 161hp dan 220Nm tork.

Difahamkan model pertama EV Perodua dirancang untuk dilancarkan pada penghujung 2025 dengan harga tidak melebihi RM100,000.

View Comments (5)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved