Lamborghini Urus SE dilancarkan di pasaran Malaysia, RM1.028 juta sebelum cukai

Lamborghini Urus SE Launch_Kuala Lumpur (16)

TIDAK sampai dua bulan selepas membuat kemunculan sulungnya menerusi acara Auto Shanghai 2024, Lamborghini Urus SE kini telah pun dilancarkan di Malaysia pada harga RM1,028,000 sebelum cukai.

Urus SE bukanlah model edisi istimewa tetapi merupakan versi plug-in hybrid (PHEV) yang menggunakan Urus S sebagai asas.

Ia tampil dengan reka bentuk baharu, aerodinamik yang dioptimumkan, serta trenkuasa hibrid yang bukan sahaja menawarkan kuasa tertinggi dalam barisannya tetapi juga pengurangan emisi sehingga 80%.

Urus SE dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 dengan 620 PS dan 800 Nm, dipadankan dengan sebuah motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 192 PS dan 483 Nm. Apabila digabungkan, trenkuasa PHEV berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 800 PS dan 950 Nm.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding Urus S) dan mencapai kelajuan maksimum 312 km/j (7 km/j lebih pantas berbanding Urus S).

Enam mod pemanduan yang sedia ada dari Urus S (Strada, Sport, Corsa, Neve, Sabbia dan Terra) kini ditemani dengan empat mod Electric Performance Strategies (EPS) baharu iaitu EV Drive, Hybrid, Performance dan Recharge.

Dalam mod EV Drive, bateri litium ion berkapasiti 25.9 kWj yang terletak di bawah lantai dan di atas differential belakang memberikan jarak pemanduan melebihi 60 km dan kelajuan maksimum 135 km/j.

Bergantung pada mod pemanduan yang dipilih, ketinggian suspensi udara Urus SE boleh dilaraskan antara 15 mm hingga 75 mm.

Dari segi penampilan, Urus SE tampil berbeza dengan sentuhan lebih segar pada bonet, lampu matrix LED, bampar, lampu belakang dan diffuser. Kehadiran spoiler baharu meningkatkan downforce belakang sebanyak 35% manakala saluran udara bawah badan menyalurkan 15% lebih banyak udara sejuk ke bahagian enjin.

Ruang kabin turut diberikan kemaskini menerusi skrin 12.3 inci yang lebih besar, serta tempat duduk dan papan pemuka baharu. Panel butang mekanikal juga dikatakan mempunyai feel yang lebih baik.

Sudah tentu, Lamborghini menawarkan pilhan kustom yang luas. Sebagai contoh, tayar Pirelli P Zero ditawarkan dalam saiz 21 hingga 23 inci bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Pelanggan juga boleh memilih daripada lebih 100 warna luaran yang ditawarkan (termasuk dua warna baharu iaitu Arancio Egon dan Bianco Sapphirus), serta 47 kombinasi warna dan empat jenis sulaman untuk bahagian dalaman.

View Comments (5)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved