PROTON hari ini melancarkan X50 2024 iaitu versi yang dikemaskini. SUV kompak segmen-B ini menerima penambah baikan dari empat aspek; keselesaan, keselamatan, ketersambungan, dan kebolehpercayaan/ketahanan.
Sebelum kita lihat pembaharuannya, jom kita perincikan varian dan penawaran. Proton X50 2024 hadir dalam empat varian seperti berikut:
X50 1.5T Standard – RM86,300
X50 1.5T Executive – RM93,300
X50 1.5T Premium – RM101,800
X50 1.5 TGDi Flagship – RM113,300
Untuk penambah baikan dari segi keselesaan, Proton telah memberikan pakej NVH (noise, vibration, and harshness) baharu dengan 20 tempat pada badan kereta. Ini dikatakan mampu mengurangkan bunyi dalam kabin semasa dipandu.
Selain itu, X50 juga kini dilengkapi dengan pintu but berkuasa (varian Premium dan Flagship) sahaja.
Untuk bahagian keselamatan, kamera 360-darjah (pada Premium dan Flagship) kini lebih jelas untuk pengemudian waktu kurang cahaya. Ia mendapat 3.3 kali lebih piksel, paparan titik buta, dan paparan live 3D semasa menukar lorong.
Seterusnya penambah baikan adalah di bahagian ketersambungan (connectivity). Semua varian X50 2024 kini mendapat skrin infotainmen 10.3-inci yang juga menampilkan pemprosesan lebih pantas untuk respon sentuhan lebih baik.
X50 baharu ini juga menyokong aplikasi PROTONLink yang membolehkan anda mengakses beberapa fungsi dari telefon pintar.
Aspek lain tidak berubah pada SUV ini. Proton X50 masih ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu 1.5-liter turbo 3-silinder untuk varian Standard, Executive, dan Premium, manakala 1.5-liter suntikan terus bahan api untuk Flagship.
Enjin 1.5-liter turbo 3-silinder menjana 150PS pada 5,5500rpm dan 226Nm tork pada 1,500 hingga 4,000rpm. Unit 1.5-liter TGDi yang lebih berkuasa pula menghasilkan 177PS pada 5,550rpm dan 255Nm tork dari 1,500 hingga 4,000rpm.
Kotak gear adalah standard untuk semua, iaitu automatik dwi-klac 7-kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda depan. Masih belum ada paddle-shifter untuk X50 2024 ini.
Ciri lain bermula pada varian Standard adalah empat beg udara, lampu LED dengan DRL, rim 17-inci dan kamera undur. Varian Executive ditambah dengan enam beg udara, stereng balutan kulit, lampu automatik, lampu kabus, dan tempat duduk kulit.
Kemudian ke varian yang lebih atas iaitu Premium, anda mendapat Tyre Pressure Monitoring System, Security Tint, rim 18-inci, pintu but berkuasa, tempat duduk pemandu berkuasa, dan kamera 360-darjah.
Untuk varian tertinggi Flagship, X50 didatangkan dengan tambahan enjin 1.5 TGDi, sistem bantuan pemandu ADAS, warna badan dwi-tona, dan bumbung panoramik.
Proton X50 2024 boleh didapati dengan lima pilihan warna – Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, dan Passion Red.
Selain itu, Proton turut menawarkan pakej ‘early bird’ untuk 5,000 tempahan pertama yang dibuat sebelum 31 Julai 2024, iaitu:
Diskaun RM7,000
Sokongan trade-in RM1,500
Ciri tambah nilai RM6,000