EVC lancar ciri AutoCharge, pengguna EV tidak lagi perlu imbas kod QR sebelum mengecas

EVC, menerusi aplikasi JomCharge, secara rasminya melancarkan ciri AutoCharge untuk pengecas pantas DC mereka.
Walaupun sebelum ini ciri berkenaan sudah boleh digunakan oleh sesetengah pengguna Chery Omoda E5, pendaftaran perlu dilakukan secara manual di pejabat EVC. Ia juga terhad kepada sesetengah pengecas sahaja.
Namun dengan pelancaran ini, pengguna kini boleh mengaktifkan AutoCharge via JomCharge di mana-mana lebih 200 poin pengecasan yang disokong AutoCharge.
Dengan AutoCharge, pengguna EV hanya perlu menyambungkan pengecas ke kenderaan mereka dan ia secara automatik akan mengenalpasti ID kenderaan dan seterusnya memulakan pengecasan.
Langkah ini lebih mudah berbanding sebelum ini di mana pengguna perlu menggunakan aplikasi yang sesuai dan mengimbas kod QR sebelum pengecasan boleh dimulakan.
Dengan AutoCharge, pengguna langsung tidak perlu menggunakan telefon pintar. Selepas pengecasan selesai, pembayaran akan dibilkan secara automatik kepada kad yang didaftarkan di dalam aplikasi JomCharge.
Walau bagaimanapun, buat masa ini, ciri ini hanya tersedia kepada pengguna EV jenama Chery dan GAC Aion namun menurut EVC, mereka sedang dalam usaha untuk menjalinkan perkongsian dengan pengeluar-pengeluar lain bagi memastikan lebih ramai pengguna EV dapat memanfaatkan AutoCharge.
Pengguna EV yang berminat untuk mengaktifkan ciri AutoCharge boleh mengunjungi mana-mana pengecas AutoCharge yang boleh dicari menerusi aplikasi JomCharge.
Apabila tiba di sana, mereka hanya perlu menekan butang ‘Activate’ di dalam seksyen Accounts dan seterusnya mengikut arahan yang terpapar pada skrin. Panduan yang lebih terperinci boleh didapati di halaman YouTube rasmi EVC.