Bermaz Auto jangka tahun kewangan lebih mencabar akibat inflasi, konflik geopolitik

BERMAZ Auto Bhd (BAuto) berkata ia menjangkakan prestasi perniagaan yang mencabar bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2025.
Pengedar rasmi kenderaan Kia dan Mazda itu berkata sektor automotif akan menyaksikan pertumbuhan tahun ini tetapi pada kadar yang lebih perlahan disebabkan tekanan inflasi, ketidaktentuan dalam konflik geopolitik dan pengembangan global yang lebih lemah secara keseluruhan yang akan memberi kesan kepada ekonomi tempatan.
Syarikat itu berkata kemasukan kenderaan dari China juga telah memberi kesan kepada jualan kenderaan.
Dalam satu laporan yang difailkan kepada Bursa Malaysia, BAuto berkata pelancaran model baharu dan facelift bagi jenama sedia ada dan baharu kumpulan itu masih bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi.
Untuk suku keempat yang berakhir pada 30 April 2024, BAuto merekodkan hasil yang lebih rendah iaitu RM937.5 juta berbanding RM1.07 bilion yang dicapai pada suku yang sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, penurunan itu disebabkan jualan tempatan yang lebih rendah oleh Mazda dan Kia.
Keuntungan bersihnya juga lebih rendah pada RM90.22 juta berbanding RM100.62 juta bagi suku yang sama tahun lalu.
Walau bagaimanapun, kemerosotan hasil dan keuntungan yang lebih rendah itu diimbangi keuntungan yang lebih tinggi dari Kia Malaysia Sdn Bhd yang mencapai volum eksport lebih tinggi.
Sementara itu, bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024, BAuto mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM3.93 bilion berbanding RM3.54 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Keuntungan bersihnya mencecah RM351 juta bagi tahun ini berbanding RM305.8 juta tahun sebelumnya.