KPDN panggil 10 syarikat umum kenaikan harga pasca penyasaran subsidi diesel

pam petrol
Foto oleh Miera Zulyana/MalayMail

10 syarikat dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, KPDN telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 atau Akta 723.

Tambah beliau, syarikat yang dikenal pasti ini akan diminta memberi penjelasan berkaitan kewajaran tindakan mereka menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

“Sepuluh syarikat berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (tiga syarikat), sektor bahan binaan (tiga syarikat), sektor makanan dan minuman (dua syarikat) serta sektor sewaan jentera (dua syarikat).

“Dua syarikat telah dipanggil semalam, 13 Jun 2024, dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual,” tambahnya.

Armizan berkata, siasatan awal mendapati empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

“Setiap syarikat akan diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

“Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut,” tambahnya.

View Comment (1)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved