JPJ umum kempen panggilan semula untuk Toyota, Mercedes-Benz dan Chery

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan kempen panggilan semula Siri 2/2024 yang melibatkan beberapa model kenderaan daripada tiga jenama iaitu Toyota, Mercedes-Benz dan Chery.
Menurut JPJ, panggilan semula bagi model-model terlibat telah dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan tersebut sejak dari bulan Mac 2024 dan masih berlangsung sehingga kini.
Berikut adalah semua model yang terlibat dengan kempen panggilan semula:
Toyota
- Corolla Cross (tahun pengeluaran Julai-September 2023) – 2,379 unit
Mercedes-Benz
- C 200 (Januari-Julai 2023) – 1 unit
- CLA 200, CLA 45 AMG 4Matic, A 250, A 45 AMG 4Matic dan S 400 Hybrid (Jun 2012-Januari 2021) – 11 unit
- EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic, GLC 300 4Matic, GLC 350 E 4Matic, AMG EQE 53 4Matic+, AMG EQS 53 4Matic+, AMG SL 43 Roadster, Maybach S 580 4Matic dan S 580 E (Januari-November 2023) – 1,297 unit
- GLE 450 4Matic dan GLS 450 4Matic (Februari 2018-November 2023) – 1,302 unit
Chery
- Omoda 5 (November 2023-April 2024) – 600 unit
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa berikutan isu kegagalan gandar belakang Omoda 5 yang tular baru-baru ini, pihak Chery Auto Malaysia Sdn Bhd telah segera melaksanakan aktiviti panggilan semula sejak 3 Mei 2024.
Sehingga 7 Jun 2024, Chery telah memeriksa sebanyak 592 unit daripada 600 unit (98.67%) Omoda 5 yang terlibat dalam aktiviti panggilan semula itu.
“Baki pemilik kenderaan telah dihubungi bagi melengkapkan jadual pemeriksaan dan dijangka aktiviti ini akan diselesaikan pada akhir Jun 2024,” kata JPJ.