Helikopter A109 LOH Tentera Darat mendarat cemas, tiga krew cedera

TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan sebuah helikopter Agusta A109 LOH (M81-11) melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang, Johor, awal pagi tadi.
TDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku ketika sesi latihan penerbangan membabitkan tiga anak kapal yang dikenal pasti mengalami kecederaan.

“TDM mengesahkan sebuah pesawat M81-11 (Agusta L109H) melakukan pendaratan kecemasan di mana kejadian berlaku ketika sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD), Kem Mahkota Kluang, Johor jam 1.35 pagi hari ini.
“Insiden ini melibatkan tiga anak kapal, terdiri daripada jurulatih helikopter, penuntut kursus dan krew kuatermaster,” katanya.
Menurut TDM, kesemua krew yang terbabit dalam insiden itu dalam keadaan sedar.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mengesan beberapa kecederaan dialami pegawai dan dua lagi anggota iaitu patah tulang belakang dan luka di beberapa bahagian anggota badan.
“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan sudah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi rawatan lanjut.
“Tindakan TDM adalah ‘Henti Terbang Sementara’ (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, TDM memberitahu proses ratifikasi dan pemeriksaan akan dilakukan bagi mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.
Selain itu TDM dalam kenyataannya, turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu dengan Lembaga Siasatan akan bersidang bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.