JPJ tahan dua pemandu bas tiada lesen memandu, satu positif ganja

OPERASI bersepadu bas pelancongan dan ekspres yang dijalankan di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak hari ini menyaksikan dua pemandu dikesan tidak memiliki lesen manakala seorang didapati positif ganja.
Menurut Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, pihaknya memeriksa sebanyak 22 bas persiaran dalam operasi bermula 6 pagi itu.
Setakat 9 pagi tadi, Kifli berkata pihaknya menahan dua pemandu bas persiaran kerana tiada lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
“Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya syarikat dan pemandu bertanggungjawab ke atas kenderaan masing-masing.
“Kita mengambil tindakan menyita bas itu sehingga syarikat menggantikan pemandu dengan lesen yang sah,” katanya.
Operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
AADK menjalankan ujian air kencing ke atas kesemua 22 pemandu di mana seorang daripada mereka didapati positif dadah.
“Pemandu berusia 30-an itu didapati positif menggunakan ganja dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kenderaan asing tidak mempunyai Permit Peredaran Dalaman (ICP) dan tidak mempunyai pemandu pelancong.
Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bas pelancongan dan bas ekspres supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Kami tidak akan berkompromi dengan kesalahan dilakukan demi keselamatan penumpang,” katanya.