Hibrid atau EV, mana yang lebih baik?

Dahulu, membeli kereta adalah satu proses yang mudah. Namun dengan kemajuan teknologi dalam industri automotif, proses pembelian kereta kini menjadi lebih rumit kerana pengguna perlu mengambil kira banyak perkara sebelum membuat keputusan.
Sebagai contoh, untuk enjin, pilihan yang ada pada masa kini tidak terhad kepada petrol atau diesel sahaja. Bergantung kepada jenama, pengguna kini boleh mendapatkan enjin hibrid yang menawarkan lebih penjimatan.
Atau jika pengguna tidak mahu lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman demi alam sekitar, mereka kini boleh mendapatkan kenderaan elektrik (EV) pada harga serendah RM100,000.
Dalam erti kata lain, pengguna perlu mempertimbangkan banyak faktor bagi memastikan kereta yang dibeli dapat memenuhi keperluan mereka.
Oleh itu, perkara pertama yang mereka perlu lakukan untuk memastikan mereka dapat membuat pilihan terbaik adalah memahami perbezaan antara hibrid dan EV.
Definisi hibrid dan EV
Secara asasnya, kereta hibrid mempunyai dua sumber kuasa iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan motor elektrik yang mendapat bekalan tenaganya dari pek bateri.
Bergantung kepada jenis sistem hibrid, ICE dan motor elektrik boleh menggerakkan roda secara bersama atau berasingan. Ini bergantung kepada kelajuan kenderaan, baki tenaga bateri dan faktor-faktor lain.
Plug-in hybrid electric vehicle atau PHEV mempunyai jarak gerak elektrik yang lebih jauh kerana ia mempunyai motor dan bateri yang lebih besar. Bateri tersebut boleh dicas dari sumber luaran seperti EV yang sebenar.
Tidak seperti kereta hibrid, EV tidak mempunyai ICE dan bergantung kepada motor elektrik semata-mata untuk bergerak.
Kebanyakan EV mempunyai satu atau dua motor elektrik, serta pek bateri besar yang diletakkan di bahagian bawah casis. Bateri EV biasanya menyokong pengecasan AC dan DC.
Kelebihan hibrid
Tidak kira jenis apa yang dipilih, trenkuasa hibrid dapat mengurangkan penggunaan bahan api, dengan sesetengah sistem turut menjanjikan prestasi pecutan yang lebih baik.
Kadar penjimatan bahan api bergantung kepada jenis sistem hibrid. Sebagai contoh, sistem mild-hybrid tidak menawarkan penjimatan yang ketara jika dibandingkan dengan PHEV kerana ia tidak mempunyai mod elektrik.
Walaupun lebih berat berbanding kereta ICE asli dek kerana bateri, prestasi kereta hibrid boleh dikatakan memuaskan. Ia tidaklah selaju EV namun ia boleh menggabungkan kuasa enjin dan motor elektrik untuk memberikan pecutan yang kuat.
Selain itu, pengguna hibrid tidak perlu pening kepala memikirkan tentang pengecasan kerana bateri hibrid tidak perlu dicas. Ia boleh memulihkan semula tenaganya menerusi sistem brek janaan semula (regenerative braking). Tetapi ini tidak terpakai kepada PHEV kerana baterinya masih perlu dicucuk kepada pengecas jika anda mahu ia dicas sepenuhnya.
Kelebihan EV
Pertama sekali, EV tidak menggunakan setitis bahan api pun jadi ia pilihan yang tepat untuk mereka yang ingin mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka, lebih-lebih lagi dengan langkah penyasaran subsidi petrol yang akan berlaku dalam masa terdekat.
Sudah tentu, pengguna masih perlu memikirkan tentang kos pengecasan namun pengguna sekurang-kurangnya boleh memilih stesen pengecas yang menawarkan kadar yang sesuai bajet mereka.
Bercakap tentang bajet, pengguna EV di Malaysia boleh mengurangkan kos operasi mereka kerana cukai jalan untuk EV adalah percuma sehingga penghujung 2025.
Dari segi prestasi pula, EV secara umumnya lebih laju berbanding kereta hibrid disebabkan keupayaan motor elektrik untuk menjana tork maksimum sebaik sahaja pedal ditekan.
Ketiadaan pula ICE membuatkan EV jauh lebih senyap dan lancar. Ini secara tidak langsung membuatkannya rasa lebih mewah dan premium.
Mana yang patut saya pilih?
Anda perlu tahu keperluan anda sebelum membuat keputusan. Hibrid sesuai jika anda inginkan sebuah kereta harian yang boleh dipercayai dan jimat bahan api. Ia menawarkan jarak gerak yang lebih jauh berbanding EV dan anda tidak perlu risau tentang pengecasan.
Hibrid atau lebih tepat lagi PHEV juga dilihat pilihan yang baik bagi mereka yang ingin beralih kepada EV tetapi belum bersedia untuk berbuat demikian. Ini kerana ia mempunyai mod pemanduan elektrik dan pengguna juga boleh belajar cara mengecas dengan kereta PHEV.
EV memang seronok dipandu dan pecutannya boleh membuatkan seseorang itu ketagih tetapi ia juga mempunyai jarak gerak yang terhad. Oleh itu, pilih EV hanya jika anda mempunyai lebih daripada sebuah kereta dan tidak tinggal jauh dari tempat kerja.
Selain jarak, anda juga perlu mengambil kira faktor infrastruktur pengecasan awam yang boleh dikatakan belum lagi cukup bersedia. Ya, bilangan stesen pengecasan semakin lama semakin bertambah namun ada kemungkinan yang pengecas mengalami kerosakan atau isu teknikal.
Jalan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memasang pengecas di kediaman namun ini hanya boleh dilakukan jika anda tinggal di rumah bertanah.