Red Bull RB17, hypercar 1,200 hp untuk geng kayangan

ACARA Goodwood Festival of Speed yang berlangsung baru-baru ini menampilkan banyak kereta yang menarik tetapi adil jika penulis katakan tiada yang lebih mengujakan berbanding Red Bull RB17.
Direka oleh ketua pegawai teknikal kumpulan Red Bull Racing, Adrian Newey, dan Red Bull Advanced Technologies, RB17 adalah hypercar pertama Red Bull yang dihasilkan untuk kegunaan litar sahaja.
Seperti yang boleh dilihat, sentuhan Newey memang menjadi. RB17 menampilkan casis monocoque gentian karbon dua tempat duduk dengan enjin NA 4.5-liter V10 yang boleh mencapai red line pada 15,000 rpm.
Dengan lebih 1,200 hp, yang disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan gentian karbon, Red Bull mendakwa RB17 boleh membuat catatan masa setanding dengan jentera F1 dan mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.
Tidak perlu diperkatakan lagi yang jentera ini memang cukup mengagumkan cuma sayangnya hanya 50 individu bertuah dapat memilikinya. Menurut laporan, harga seunit bermula dari 6 juta pound (RM36.3 juta).
Dengan harga seperti itu, pemilik diberi keistimewaan untuk memilih warna luaran, material untuk ruang kabin dan pelbagai perincian lain, mengikut citarasa masing-masing.
Bukan itu sahaja, sebagai sebahagian daripada pengalaman pemilikan unik yang ditawarkan oleh Red Bull, pemilik RB17 juga akan dijemput untuk menyertai acara-acara eksklusif yang akan diadakan di litar-litar terkemuka di seluruh dunia.