Proton X50 2024 terima 8,000 unit tempahan dalam sebulan

PROTON mengumumkan bahawa X50 2024 telah menerima sambutan yang menggalakkan, dengan mencatatkan sebanyak 8,000 tempahan dalam tempoh hanya sebulan sejak pelancarannya.
Menurut pengeluar kereta nasional itu, permintaan yang positif ini jauh melebihi jangkaan dan telah menetapkan piawaian baru untuk segmennya.
Sejak pelancarannya pada 2020, sebanyak 115,262 unit X50 telah berjaya dijual sehingga Jun tahun ini, sekali gus menjadikannya SUV terlaris di Malaysia.
Sebagai tindak balas kepada permintaan yang menggalakkan ini, Proton sedang meningkatkan pengeluaran untuk mempercepat jadual penghantaran kepada pelanggan menjelang Ogos 2024.
Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata pihaknya sangat teruja melihat nombor tempahan yang luar biasa untuk bulan pertama.
“Ini telah menunjukkan daya tarikan kukuh Proton X50 2024. Ini mengesahkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai dan kualiti yang cemerlang kepada pelanggan kami.
“Ini mengesahkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai dan kualiti yang cemerlang kepada pelanggan kami,” tambah beliau.
Semua pelanggan yang layak mendapat promosi early bird diskaun tunai RM7,000 dan sokongan tukar beli RM1,000/RM1,500 akan menerimanya dengan sewajarnya.
Menurut Proton, pelanggan mereka tertarik dengan keselesaan, prestasi yang ditingkatkan, dan nilai yang luar
biasa X50 2024.
Bagi mengurangkan bunyi di dalam kabin, Proton telah memberikan pakej kadar bising, getaran dan kekasaran (NVH) baharu pada lebih 20 tempat pada badan X50. Varian X50 Premium dan Flagship juga kini dilengkapi dengan pintu but berkuasa.
Di dalam, kamera 360-darjah (pada Premium dan Flagship) kini lebih jelas untuk pengemudian waktu kurang cahaya. Ia mendapat 3.3 kali lebih piksel, paparan titik buta, dan paparan live 3D semasa menukar lorong.
Unit hiburan infotainment (IHU) 10.3 inci merupakan satu lagi pembaharuan, dilengkapi dengan unit pemproses dwi-teras empat baharu yang memberikan kelajuan bootup dan masa pemuatan yang lebih pantas.
Sementara itu, Proton turut memperkenalkan pakej promosi untuk model-model lain sempena dengan pencapaian lima juta unit. Ini termasuk diskaun tunai RM500 untuk Saga, RM7,000 untuk X70, dan penyelenggaraan perkhidmatan percuma selama dua tahun untuk X90.
Selain itu, acara ‘Uji Pandu dan Menang tanpa Kewajipan Membeli’ yang lama dinantikan telah diperkenalkan di bilik pameran Proton di seluruh negara.