Ducati DesertX Rally, Monster 30° Anniversario masuk pasaran Malaysia
22 Jul 2024·Bacaan < 1 min

DUCATI Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua model menarik ke pasaran tempatan iaitu DesertX Rally dan Monster 30° Anniversario yang merupakan model edisi terhad.
DesertX Rally (RM160,900)
Sebagai varian tertinggi dalam bariannya, DesertX Rally tampil dengan pelbagai kelengkapan yang direka khusus untuk meningkatkan pengalaman tunggangan off-road.
Berikut adalah antara spesifikasi dan kelengkapan yang disertakan:
- Sistem suspensi KYB berprestasi tinggi dan boleh laras sepenuhnya dengan teknologi katrij tertutup memberikan ketahanan dan prestasi tunggangan off-road yang lebih konsisten.
- DesertX Rally dilengkapi dengan rim Takasago EXCEL tugas berat dengan hab billet aluminium dan jejari keluli karbon. Ia dikatakan 0.5 kg lebih ringan berbanding rim DesertX standard.
- Sump guard karbon, serta brek belakang dan tuil gear yang diperbuat daripada billet aluminium mengurangkan berat dan pada masa yang sama menawarkan ketahanan.
- Grafik tahan lasak yang diinspirasikan daripada livery yang digunakan oleh Antonie Meo dalam perlumbaan Erzbergrodeo.
Monster 30° Anniversario (RM115,900)
Terhad kepada 500 unit sahaja di seluruh dunia, Monster 30° Anniversario dihasilkan sempena ulang tahun ke-30 Monster.
Antara ciri utama jentera ini adalah:
- Livery Tricolore “30° Anniversario” dengan penutup tempat duduk pembonceng dan plak nombor siri pengeluaran pada bar hendal. Turut disertakan adalah animasi unik pada panel instrumen.
- Dikuasakan oleh enjin Testastretta 11° bersesaran 987 cc yang menjana 111 hp dan 93 Nm untuk tunggangan yang mengujakan.
- Rim aluminium tempaan didatangkan secara standard.
- Mempunyai kelengkapan elektronik terkini yang merangkumi ciri-ciri seperti Ducati Quick Shift (DQS), Cornering ABS, dan Traction Control untuk tunggangan yang selamat dan dinamik.
- Fork boleh laras Öhlins NIX30, penyerap hentak belakang Öhlins dan peredam stereng Öhlins.
- Ergonomik tempat duduk direka semula untuk keselesaan dan kawalan yang lebih tinggi, menjadikan motosikal ini sesuai untuk tunggangan di dalam dan luar bandar.