Bentley hasilkan enjin W12 terakhir, lebih 100,000 unit terjual sejak 2003

BENTLEY telah membina enjin W12 terakhirnya, sekali gus menandakan tamatnya era enjin 12 silinder yang pernah menjadi ‘nadi’ Bentayga, Continental GT dan Flying Spur itu.
Menurut Bentley, sebanyak lebih 100,000 unit enjin W12 telah dihasilkan di kilang Dream Factory di Crewe, England sejak ia diperkenalkan buat pertama kali menerusi Continental GT pada 2003.
Secara asasnya, enjin berkenaan adalah gabungan dua enjin V6 sudut-sempit yang berkongsi aci engkol. Ini menjadikan enjin tersebut 24% lebih berbanding enjin V12 konvensional.
Dengan intake, ekzos, pengecas turbo dan intercooler yang dibangunkan sendiri oleh Bentley, enjin tersebut menghasilkan 552 hp dan 649 Nm semasa ia mula-mula diperkenalkan.
Terima kasih kepada penambahbaikan secara berterusan, termasuk penggunaan pengecas turbo twin-scroll pada 2015, enjin ikonik itu kini mampu memberikan output berjumlah 740 hp dan 1,000 Nm seperti yang dilihat pada Batur.
Bagi meraikan enjin itu buat kali terakhir, Bentley menawarkan 120 unit model ‘Speed Edition 12’ untuk Bentayga, Continental GT, Continental GT Convertible dan Flying Spur.
Antara ciri unik yang ditampilkan termasuk lencana dan sulaman Edition 12, serta plak nombor siri enjin. Bukan itu sahaja, pemilik juga mendapat model skala blok enjin berkenaan.
Keputusan untuk mengakhiri produksi enjin W12 itu selaras dengan strategi Beyond100 Bentley yang memfokuskan kepada kelestarian.
Ia akan digantikan oleh enjin Ultra High Performance Hybrid yang menggabungkan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 dan motor elektrik yang diletakkan di bahagian tengah antara enjin dan transmisi.
Enjin baharu itu mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 771 hp (782 PS) dan 1,000 Nm, dan akan membuat penampilan sulungnya menerusi Continental GT Speed 2025.