Chery bekerjasama dengan Projek Belia Mahir untuk sediakan peluang pekerjaan untuk belia Malaysia

chery belia mahir project

Chery Corporate Malaysia mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Projek Belia Mahir, sebuah platform yang di gerakkan oleh badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran.

Kerjasama antara Chery Corporate Malaysia dan Projek Belia Mahir ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan bagi pekerja mahir, menawarkan peralihan yang lebih lancar dari tamat pengajian hingga memasuki alam bekerja yang lebih bermanfaat dalam industri automotif.

Inisiatif ini bukan sahaja akan menjamin laluan kerjaya yang lebih terancang bagi graduan, tetapi juga akan memperkasakan mereka untuk mengaplikasi dan meningkatkan kemahiran mereka dalam sektor automotif Malaysia.

Projek Belia Mahir ini menggerakkan usaha membantu golongan belia yang tidak bekerja, tidak dalam pendidikan atau latihan (NEET) untuk mendapatkan peluang untuk meneruskan pendidikan dan latihan kemahiran dengan kolaborasi institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran.

“Dengan adanya kilang pemasangan kenderaan Chery di Shah Alam, Selangor yang baru dilancarkan pada bulan Jun, kami berhasrat untuk membina tenaga kerja professional yang berkemahiran tinggi untuk mengekalkan komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami yang dihargai,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

Selepas menamatkan program latihan dan pendidikan, graduan yang disyorkan oleh pihak Projek Belia Mahir akan diberi peluang untuk bekerja bersama Chery.

Graduan yang layak juga akan menerima pendapatan minimum bulanan yang kompetitif sebanyak RM2000, termasuk faedah kakitangan yang komprehensif.

“Dengan memperkasakan bakat tempatan dan memupuk kerjasama, kami bukan sahaja menyokong matlamat peralihan industri dan tenaga Malaysia tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif di negara ini,” tambah Leo.

Kerjasama antara Projek Belia Mahir dan Chery Corporate Malaysia merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan bagi belia Malaysia, memastikan tenaga kerja yang mahir bersedia untuk maju dalam sektor automotif.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved