Lejen mistik jalan raya Malaysia: Tiga kali diganggu di Jalan Kuala Klawang-Genting Peras!

kisah seram jalan malaysia 03

SALAM sejahtera para pembaca dan rakan-rakan Engear, kami memulakan segmen baharu dalam laman web ini, iaitu kisah-kisah mistik yang sering menjadi buah mulut dalam kalangan pemandu-pemandu di Malaysia.

Sesekali selain membaca mengenai pandu uji kereta, berita semasa, dan tips, apa kata kita baca bahan-bahan santai seperti ini, kan?

Untuk episod pertama, kami bawakan kisah Jalan Kuala Klawang-Genting Peras. Rasanya kisah ini tidak begitu diketahui umum, malah penulis sendiri pertama kali mendengar mengenainya.

Laluan ini merupakan laluan wajib bagi peserta Le Tour de Langkawi disebabkan ia sebuah laluan berbukit dan mempunyai lebih 240 selekoh yang menjadikannya sangat mencabar.

Disebabkan laluan ini berada di kawasan berbukit, keadaannya pada waktu malam memang sangat gelap dan sunyi.

Banyak buah mulut daripada para penunggang motor dan pemandu yang menggunakan jalan tersebut pada waktu malam yang menyatakan kewujudan makhluk-makhluk halus seperti pontianak dan langsuir yang kerap mengganggu mereka.

Menurut beberapa penulisan di media sosial, “Kau tak akan berseorangan di Genting Perez.”

Berikut adalah kisah penuh untuk laluan ini:

Pernah korang dengan Genting Peras? Bukan Genting Highlands, ini jalan belakang boleh tembus Semenyih, Hulu Langat, dari Kuala Klawang lalu Bukit Tangga.

Waktu tu jam 3:30 pagi, melepasi Masjid Sungai Tekali Ulu Langat tu, kabus tebal, jarak pandangan dalam tiga meter je. Aku pun bawakla slow je motor cub ni nek bukit dgn penuh hati-hati takut ada binatang melintas ke apa ke.

Tiba di satu selekoh, aku terhidu satu bau busuk. Macam bau bangkai, masam baunya. Macam bau muntah pun ye juga.

Aku buat tak tau je la sebab kat tepi-tepi jalan tu selalu je nampak ada bangkai tupai, kucing, burung, perabot pun ada orang buang.

Tapi, bau ni makin lama makin kuat sampai aku terloya pulak, tersedak aku. Orang tua pesan jangan tegur kalau ada pelik-pelik.

Setelah aku terbatuk tu, tiba-tiba jalan dpn aku jadi clear. Wah! Senyum aku sorang-sorang.

Tapi sebenarnya, jalan tu jadi clear sebab Tuhan nak tunjukkan aku makhluk ciptaan-Nya yang lain!

Di tepi jalan belah kanan, lereng bukit, aku nampak susuk tubuh macam orang perempuan rambut panjang berdiri dalam semak separas pinggang.

Aku tengok betul-betul, orang atau daun pisang. Ternyata makhluk berupa manusia!

Tapi, masa tu aku rilek je sebab tak yakin sangat dengan pandangan mata aku ni. Takpe, teruskan perjalanan. Dalam hati, ya Allah tak tahu nak cakap.

Jalan masih clear, aku bolehlah bawa laju sikit. Lampu depan aku terang, selamba je ambil selekoh cecah stand. Sebenarnya takut tak fikir dah apa yang melintas waktu tu, sampailah aku di jalan turun bukit sebelum simpang Empangan Semenyih.

Aku perlahankan motor sebab brek aku kurang makan, di situ aku nampak lagi!

Di kiri jalan pula. Lagi dekat. Tadi jauh sikit dalam 50 meter, yang kali ni dekatnya dalam 10 meter. Jelas sangat dah aku nampak kilat rambutnya!

Confirm, makhluk tu. Aku dah takut, habis meremang segala bulu, jelas aku nampak. Aku tawakal je.

Setelah takut sekejap tadi, aku pun sampailah ke kampung orang asli selepas Empangan Semenyih itu. Kabus menebal balik, aku dah takut semula.

Aku minta pada Tuhan, jauhilah hamba-Mu ini dari sebarang malapetaka. Tapi Tuhan nak uji aku lagi sekali!

Masa aku naik bukit yang menghampiri papan tanda sempadan Jelebu-Kajang itu, makhluk tu muncul lagi!

Kali ini di belah kiri, betul-betul atas jalan. Aku nampak kainnya penuh tanah. Tak nampak kaki sebab kain labuh. Tangan dia panjang sampai ke lutut, rambut panjang mengurai sampai ke dada. Tak nampak muka.

Aku tergamam, aku lalu je sebelah dia dengan perlahan. Lampu motor terang, jelas aku nampak. Bau sangat busuk.

Bila aku betul-betul di sebelahnya, dia terus hilang sekelip mata. Masa itu aku tak ingat apa yang aku fikir, rasa macam kosong. Mungkin tergamam.

Aku pandang depan semula, bawa motor macam biasa.

Sesampainya di rumah, sambil berehat, aku terfikir mungkin boleh kemalangan jika aku panik. Mata aku melilau tengok keliling rumah, rasa sedikit seram.

Selepas masuk waktu subuh, aku jumpa mak aku. Aku ceritakan padanya apa yang aku jumpa, kemudian mak aku suruh aku pergi mandi untuk hilangkan takut.

Ini kali pertama aku alaminya. Macam-macam juga aku dengar dari kawan aku dari jalan Kuala Klawang-Genting Peras ini.

Sekian sahaja kisah pertama yang kami kongsikan. Anda pernah alami sebarang pengalaman pelik di jalan ini? Atau jika anda ada kisah lain dari jalan-jalan Malaysia, boleh kongsikan kepada kami di: [email protected]

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved