Ini kereta paling banyak di-rebadge hari ini, Perodua Ativa pun ada

rebadge daihatsu rocky

REBADGE ialah satu teknik pengeluaran dan pemasaran oleh syarikat-syarikat pengeluar kenderaan. Dari segi bahasa, rebadge bermaksud menukar lencana.  Lebih tepat lagi, sesebuah kereta itu ditukar lencana/logonya dengan lencana lain, dan terus dikenali sebagai nama lain.

Banyak sebab rebadge dilakukan, contohnya faktor pasaran. Jika jenama Perodua tidak begitu diterima di Indonesia, kereta itu di-rebadge dengan jenama lain yang lebih diterima oleh masyarakat pasaran itu.

Tetapi sudah tentu faktor utama rebadge dibuat ialah kos. Ia menjimatkan kos sesuatu pengeluar dari membangunkan kereta baharu. Ambil sahaja apa yang ada, pakai lencana baharu. Syarikat ‘penderma’ pula mendapat bayaran atau imbuhan dari itu.

Jom kita lihatkan kenderaan yang paling banyak di-rebadge hari ini.

Sebelum itu, ada syarat. Pertama, kenderaan itu mestilah dijual dengan jenama lain. Jadi contohnya jika Subaru Crosstrek dan XV dijual dengan nama berbeza di pasaran berbeza, itu bukan rebadge.

Kedua, kereta yang di-rebadge mestilah berkongsi majoriti panel badan dengan kenderaan asal. Tidak menukar rekaan badan atau lampu, hanya menukar jenama.

Daihatsu Rocky

Mula sebagai Daihatsu Rocky, SUV kompak ini kemudian dijelmakan menjadi Toyota Raize dan Perodua Ativa. Kemudian ia di-rebadge juga menjadi Subaru Rex.

Ya, Perodua Ativa di-rebadge dari Daihatsu Rocky. Tetapi harus diingat, walaupun hanya menukar lencana dan kosmetik, Perodua juga terlibat dalam pembangunan Daihatsu Rocky sejak dari awal.

Mereka dah lama rancang mengeluarkan jenama berbeza untuk pasaran berbeza. Tetapi pada mata orang awam, ia tetap rebadge, dan menepati dua syarat kita.

Suzuki Swift 1988

Ini bukan Suzuki Swift yang kita kenali hari ini, tetapi versi tahun 1988. Ia telah direbadge menjadi Geo Metro di AS, Chevrolet Sprint dan Pontiac Firefly di Kanada, Holden Marina di Australia, Maruti Suzuki 1000 di India, Subaru Justy di Eropah.

Kesemuanya tujuh model berbeza.

Opel Kadett C

Opel Kadett C diasaskan dari T-platform yang dibangunkan oleh GM. Opel Kadett ini kemudian direbadge menjadi Vauxhall Chevette, Chevrolet Chevette, Buick Opel, dan Holden Gemini di Australia.

Kemudian di Korea, ia di-rebadge menjadi Saehan sebelum Daewoo, Isuzu Gemini, dan akhir sekali di Argentina, sebagai GMC Chevette.

Sembilan model berbeza.

Isuzu Trooper generasi kedua

Akhir sekali, inilah kereta yang ditunggu-tunggu, yang kita cari dalam senarai ini. Isuzu Trooper (generasi kedua). Dibawah kerjasama Isuzu dengan GM, ia pernah dijual sebagai Chevrolet Trooper di Amerika Selatan.

Di Eropah, ia dijual sebagai Opel Monterey dan Vauxhall Monterey. Kemudian sebagai Holden Jackaroo di Australia, Subaru Bighorn, Honda Horizon di Jepun, kemudiannya menjadi Acura SLX sebagai model lebih mewah.

Sebuah syarikat China, Sainjiu pernah mengeluarkan Trooper sebagai model CKD. Kesemua ini adalah 10 model berbeza, menjadikan Trooper sebagai kenderaan paling banyak di-rebadge dalam sejarah.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved