Lotus Emeya dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga RM555k-RM777k


LOTUS Cars Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik keduanya iaitu Emeya ke pasaran tempatan.
Seperti Eletre, Hyper-GT elektrik sepenuhnya ini boleh didapati dalam tiga varian iaitu Emeya, Emeya S dan Emeya R. Varian asas dijual pada harga RM555,000, S dijual pada harga RM643,000 manakala R pula berharga RM777,000.
Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Setiap varian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/150,000 km, dan jaminan untuk bateri selama lapan tahun/200,000 km.
Varian asas Emeya dan Emeya S dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menghasilkan 603 hp dan 710 Nm. Dengan transmisi kelajuan tunggal, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Sementara itu, Emeya R sebagai varian tertinggi mempunyai 905 hp dan 985 Nm. Tidak seperti varian-varian lain, ia mempunyai transmisi dua kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat. Kelajuan maksimumnya juga sedikit lebih tinggi iaitu 256 km/j.
Selain motor elektrik yang berkuasa, sebahagian besar prestasi Emeya disumbangkan oleh rekaannya yang aerodinamik.
Emeya dilengkapi dengan gril depan aktif untuk mengurangkan rintangan angin dan menyejukkan bateri, air dam aktif pada bahagian depan, diffuser aktif pada bahagian belakang serta spoiler aktif dua lapisan yang boleh menjana downforce sehingga 215 kg.
Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda bersama sistem Lotus ICC intelligent torque distribution, dan sistem suspensi udara yang boleh membaca keadaan jalan pada kadar 1,000 kali sesaat.
Ketiga-tiga varian didatangkan dengan bateri berkapasiti 102 kWj, namun jarak gerak (WLTP) bagi setiap varian adalah berbeza. Varian asas menawarkan jarak gerak 610 km, manakala S pula menawarkan 540 km. Emeya R boleh dipandu sehingga 435 km.
Emeya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 10% hingga 80% dalam hanya 18 minit. Ia juga mempunyai ciri pengecasan AC 22 kW.
Ruang dalaman Emeya menampilkan ciri minimalis yang digabungkan dengan material mewah dan teknologi termaju. Bagi mengurangkan jejak karbon, Lotus menggunakan benang premium yang diperbuat dari fabrik lebihan industri fesyen.
Selain itu, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 15.1 inci yang dikuasakan oleh sistem Unreal Engine, serta sistem audio KEF dengan pembesar suara Uni-Q, subwoofer Uni-Core dan sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Turut disertakan adalah ciri Road Noise Cancellation (RNC).
Untuk sistem keselamatan, terdapat ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti amaran halangan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran depan dan sistem pemantaun titik buta. Semua maklumat penting dipaparkan menerusi head up display realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci.