MPV elektrik BYD M6 sah masuk pasaran Malaysia

Nampaknya barisan kenderaan elektrik BYD di Malaysia bakal diperluaskan lagi menerusi model baharu yang dikenali sebagai M6.
Dalam satu sesi soal jawab bersama media di Changsha, China baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang mengesahkan bahawa MPV elektrik itu akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini.
Walau bagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya masih belum diketahui, begitu juga dengan spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan.
Namun penulis menjangkakan yang spesifikasi untuk pasaran Malaysia tidak jauh berbeza dengan apa yang pasaran Indonesia dan Thailand dapat.
Di Indonesia, M6 ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, manakala di Thailand, ia hanya boleh didapati dalam versi enam tempat duduk.
Dari segi trenkuasa pula, kedua-dua pasaran itu menawarkan dua varian dengan kuasa yang berbeza. Varian asas yang dipacu oleh motor elektrik gandar depan mempunyai 163 PS/310 Nm, manakala varian lebih berkuasa (dikenali sebagai Superior di Indonesia dan Extended di Thailand) mempunyai 204 PS/310 Nm.
Seperti EV BYD yang lain, kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri LFP dengan kapasiti 55.4 kWj untuk varian asas, dan 71.8 kWj untuk Superior/Extended. Ini memberikan jarak gerak NEDC sejauh 420 km untuk varian asas dan 530 km untuk varian Superior/Extended.
Varian asas M6 menyokong pengecasan pantas DC 85 kW, manakala varian Superior/Extended pula boleh menampung sehingga 115 kW, sekali gus membolehkan tenaga bateri dipulihkan dari 10% hingga 80% dalam masa 40 minit. Sementara itu, pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW sahaja untuk kedua-dua varian.
Untuk pengetahuan anda, M6 boleh dikatakan sebagai pengganti e6 yang sepatutnya dilancarkan ke Malaysia selepas Atto 3. Jika dibandingkan dengan e6, rekaan bahagian hadapan M6 lebih selaras dengan model-model semasa BYD, dengan kemasan berwarna perak bertindak sebagai penghubung kepada lampu projektor LED.
Pada bahagian sisi, trim krom digunakan secara meluas pada bingkai tingkap dan skirt sisi, manakala di belakang, terdapat lampu yang melintang sepenuhnya yang ditemani jalur krom. Tidak seperti Atto 3, M6 menggunakan lencana ‘BYD’ yang lebih ringkas.
Ruang dalamannya lebih konvensional jika dibandingkan dengan Atto 3 atau Dolphin, namun M6 menawarkan senarai kelengkapan yang cukup meluas dengan ciri-ciri seperti skrin berputar 12.8 inci, pengecas tanpa wayar berkembar, kemasukan tanpa kunci, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dan pelbagai lagi.
Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara serta ciri ADAS yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Emergency Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring.
Bagaimana pula dengan harga? Di Indonesia, M6 dijual pada harga 379 juta rupiah hingga 429 juta rupiah (RM102,968-RM116,481), manakala di Thailand pula, harganya bermula dari 829,900 baht hingga 929,900 baht (RM106,014-RM118,788).