Kia Sportage generasi ke-5 dibuka untuk tempahan – CKD, 2 pilihan enjin

Kia Sportage CKD 01

Dinamikjaya Motors (DJM), pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, mengesahkan bahawa Kia Sportage generasi kelima akan membuat kemunculan sulungnya pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 pada Disember ini.

Menurut syarikat itu, SUV segmen C itu dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah. Tempahan juga telah dibuka di semua wakil pengedar sah Kia di seluruh negara, namun harga masih belum diumumkan.

Seperti yang boleh dilihat, Sportage yang akan dilancarkan ini adalah versi pra-facelift dan bukannya versi facelift yang diperkenalkan baru-baru ini.

Dalam satu FAQ, DJM berkata buat masa ini Sportage facelift hanya dijual di Korea Selatan namun SUV itu dijangka tiba ke pasaran tempatan dalam masa dua tahun lagi.

Sportage akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin Smartstream 2.0-liter (156 hp/192 Nm) yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, dan enjin Gamma II 1.5-liter turbo (177 hp/265 Nm) bersama DCT tujuh kelajuan.

Dari segi kelengkapan, model ini akan didatangkan dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, serta pencahayaan ambien, sistem pendingin hawa dua zon dan sistem audio Harman Kardon untuk varian-varian lebih tinggi.

Sistem keselamatan pula merangkumi Forward-Collision Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan pelbagai lagi.

Akhir sekali, DJM akan menawarkan waranti selama lima tahun dan pakej servis percuma selama lima tahun.

View Comment (1)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved