Volvo Malaysia lancar trak tugas berat FH, FM dan FMX versi dinaik taraf

Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) telah melancarkan rangkaian trak tugas berat dikemas kini bagi menyokong usaha syarikat-syarikat perniagaan menjimatkan minyak untuk menghasilkan emisi karbon lebih rendah.
Rangkaian yang terdiri daripada Volvo FH, FM dan FMX ini menampilkan reka bentuk aerodinamik yang dinaik taraf, sistem pacuan ditambah baik, persekitaran pemandu lebih selesa, dan sistem keselamatan pintar.
Ciri-ciri penting termasuk kabin Globetrotter yang lebih aerodinamik yang dapat meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 9%.
Bukan itu sahaja, Volvo Trucks juga menjadikan ciri Forward Collision Warning dengan sistem brek kecemasan automatik satu ciri standard dalam rangkaian trak tugas beratnya.
Di samping itu, rangkaian baharu ini direka untuk memastikan brek parkir treler berfungsi apabila brek parkir trak diaktifkan.
Turut disertakan adalah Cruise Control dengan I-See yang menggabungkan teknologi kawalan halaju pintar dan pertukaran gear mengikut topografi bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Sistem keselamatan pula merangkumi ciri-ciri seperti Volvo Dynamic Steering (VDS), Camera Monitoring System (CMS) dengan fungsi inframerah malam, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Support, Lane Change Support, Driver Alert Support dan Trailer Connect Indicator.
Bagi membantu pemandu trak tugas berat menjalankan tugas mereka dengan lebih selesa, Volvo Trucks turut menaik taraf kabin dengan ciri kawalan ergonomik, paparan informasi kedua, sistem audio lebih baik dan port pengecas USB-C.
“Keselamatan, Kualiti, dan Kelestarian atau penjagaan alam sekitar adalah nilai-nilai teras kami di Volvo Trucks. Kami bertekad untuk menyediakan penyelesaian yang meningkatkan keselamatan bagi para pemandu dan juga pengendali trak yang meliputi seluruh industri pengangkutan,” kata Pengarah Urusan Volvo Trucks Asia Tenggara dan Jepun, Anna Engblom.