Voge CU525 masuk pasaran Malaysia – RM29,888

VOGE CU525 02

Selepas melancarkan Voge FR150 ke pasaran tempatan pada Mei tahun lalu, MForce Bike Holdings kini memperkenalkan satu lagi motosikal jenama Voge iaitu CU525.

Dijual pada harga bermula dari RM29,888, motosikal jenis cruiser itu menampilkan gabungan enjin 494 cc dua silinder dan transmisi enam kelajuan yang menghasilkan 53.1 hp pada 8,500 rpm dan 50.5 Nm pada 7,000 rpm.

CU525 mempunyai ukuran panjang 2,225 mm, lebar 845 mm dan jarak roda 1,480 mm. Tangki bahan apinya berkapasiti 15 liter, tinggi pelananya 710 mm manakala beratnya mencecah 178 kg tidak termasuk bendalir.

Ia didatangkan dengan rim berukuran 16 inci yang dibalut tayar bersaiz 130/90 di depan dan 150/80 di belakang.

Untuk sistem suspensi, CU525 menggunakan fork terbalik (USD) 41 mm di depan dan penyerap hentak berkembar di belakang, manakala sistem brek pula terdiri daripada angku J.Juan dan brek cakera pada kedua-dua bahagian.

Turut disertakan adalah ABS dwi saluran dan Traction Control.

CU525 tampil dengan lampu LED yang direka supaya sepadan dengan gaya bobber klasiknya, serta paparan digital berwarna yang memberikan sentuhan moden.

Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu hijau, hitam dan biru.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved